Hari ke-61: Peguam akan buat permohonan untuk pakar tulisan tangan periksa dokumen

Exclusive interview with Jho Lo @ Low Taek Jho on 28 July 2010.

LANGSUNG | Perbicaraan jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-61 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.

Peguam akan buat permohonan untuk pakar tulisan tangan periksa dokumen

4.20 petang: Mahkamah mengarahkan pasukan peguam Najib Razak untuk membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan pakar tulisan tangan Australia bagi memeriksa exhibit yang sebelum ini diserahkan pihak pendakwaan kepada mahkamah.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat arahan itu setelah penghujahan hangat antara timbalan pendakwa raya (DPP) dengan peguam, berhubung sama ada permohonan rasmi perlu dibuat sebelum pakar dibenarkan memerika dokumen tersebut.

Peguam Harvinderjit Singh berhujah, pemeriksaan itu perlu kerana sebelum ini pihak pembelaan telah membangkitkan beberapa isu berhubung keaslian beberapa dokumen tertentu yang antara lain dikatakan telah ditandatangani Najib.

DPP V Sithambaram pula membalas, permohonan rasmi diperlukan kerana pihak pembelaan sepatutnya membangkitkan isu itu lebih awal, iaitu ketika di peringkat pendakwaan perbicaraan kes itu.

Sithambaran menyifatkan langkah pihak pembelaan itu sebagai “serang hendap” (ambush), yang membuatkan kedua-duanya hampir menjerit kepada satu sama lain, sebelum Nazlan menenangkan suasana.

Harvinderjit kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan membuat permohonan rasmi dalam minggu ini.

Nazlan kemudian menangguhkan prosiding. Perbicaraan bersambung pukul sembilan pagi esok.

Najib selesai baca kenyataan saksinya

3.56 petang: Bekas Perdana Menteri Najib Razak selesai membaca kenyataan saksinya, yang berjumlah 243 muka surat dan mengandungi 317 soalan dan jawapan.


Peguam panggil bekas AG untuk beri keterangan

3.30 petang: Pasukan pembelaan Najib Razak akan memanggil bekas peguam negara, Apandi Ali untuk memberi keterangan dalam perbicaraan membabitkan dakwaaan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Peguam tertuduh, Wan Aizuddin Wan Mohammed memberitahu Mahkamah Tinggi semasa perbicaraan di mahkamah petang ini.Iklan

Mahkamah dimaklumkan tentang perkara ini, berikutan perbezaan pendapat antara pihak pembelaan dan pendakwaan ke atas permohonan pihak pembelaan agar mahkamah menandakan kenyataan media Apandi pada 2016 sebagai ekshibit.

Kenyataan akhbar 2016 itu dikeluarkan Apandi bagi mengisytiharkan Najib bebas daripada kesalahan berkaitan SRC International.

Wan Aizuddin mahu menandakan kenyataan akhbar itu sebagai ekshibit manakala Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berkata ia seharusnya tidak ditanda sedemikian kerana pengeluar dokumen itu tidak hadir di mahkamah untuk membuktikan kebenaran dokumen itu.

Wan Aizuddin kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memanggil Apandi untuk membuktikan kenyataan akhbarnya.


Najib: Saya masih berpegang kepada kenyataan bekas AG

3.20 petang: Najib Razak dalam keterangannya berkata beliau sehingga hari ini masih berpegang terhadap kenyataan media bekas Peguam Negara, Apandi Ali yang membebaskannya daripada salah laku membabitkan  SRC International.

Najib membaca jawapan dari kenyataan saksi berkaitan soalan mengapa beliau tidak membuat polis berhubung pertemuan dengan Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia Ung Su Ling.

Najib berkata beliau tidak membuat laporan polis atau membuat sebarang kenyataan pada 2015 berhubung isu RM42 juta yang dipindahkan ke akaunnya, kerana beliau tidak mahu mengganggu siasatan yang dijalankan Jabatan Peguam Negara, SPRM, Bank Negara, dan pasukan petugas bersama polis.

Kata Najib, akhirnya Apandi membuat kenyataan pada 2016 bahawa siasatan telah dijalankan dan tidak menemui sebarang salah laku terhadap beliau.

“Saya berpegang kepada ini sehingga hari ini,” kata Najib.


Najib percaya Shamsul Anuar juga mangsa penipuan

3.05 petang: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata beliau percaya Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd Dr Shamsul Anuar Sulaiman telah ditipu berhubung pemindahan wang daripada syarikat itu ke akaunnya (Najib).

Najib berkata beliau menemui Shamsul pada bulan Julai 2015 selepas pengarah urusan itu dibebaskan daripada tahanan reman.

Shamsul kemudian memberitahu Najib bahawa beliau memindahkan dana itu di bawah arahan eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia, Ung Su Ling dan Dennis See, tanpa mengetahui akaun berkenaan milik Najib.

Ung dan See juga didakwa enggan mendedahkan kepada Shamsul di mana mereka mendapat arahan, dan memberitahu Shamsul bahawa pemindahan itu adalah bagi tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Dr Shamsul memohon maaf kepada saya, tetapi saya tidak boleh mengatakan dia yang perlu disalahkan sepenuhnya.

“Dia telah ditipu oleh Ung Su Ling dan Dennis See,” kata Najib.


Jho Low tipu Azlin, Ung Su Ling pula rakan sejenayahnya – Najib

2.46 petang: Najib Razak bekata bekas ketua setiausaha peribadinya Azlin Alias ​​ditipu oleh ahli perniagaan Jho Low dan CEO SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.

Bekas perdana menteri itu juga memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Rakyat 1Malaysia, Ung Su Ling adalah rakan sejenayah Jho Low.

Najib berkata Azlin ditipu oleh Jho Low dan Nik Faisal ketika beliau menjawab soalan dalam satu kenyataan saksinya mengenai sama ada Azlin telah bersekongkol dengan ahli perniagaan berkenaan.

Najib berkata Azlin adalah seorang yang berintegriti dan dihormati dalam semua perkara, dan Allahyarham Azlin tidak dimaklumkan mengenai keadaan sebenar akaun Najib.

“Oleh itu, saya percaya bahawa Azlin telah ditipu oleh JL (Jho Low) dan Nik Faisal yang menggunakan pengaruh mereka dalam perbankan, dan boleh memanipulasi keadaan untuk kepentingan selanjutnya dengan akaun saya tetapi juga sangat jelas berhubung dengan SRC,” kata Najib.

Berhubung keterangan Najib bahawa Ung merupakan rakan sejenayah Jho Low, bekas perdana menteri itu berkata demikian mengulas soalan dalam kenyataan saksinya berhubung keterangan Ung bahawa beliau (ung) diarahkan oleh Azlin agar Ihsan Perdana Sdn Bhd membuat bayaran ke akaun Najib pada Disember 2014 dan Feb 2015.

“Saya percaya Ung Su Ling tidak bercakap benar. Kenyataan bahawa peguam saya bersedia untuk perbicaraan menunjukkan bahawa Ung Su Ling adalah seorang rakan sejenayah JL (Jho Low) dan melaksanakan perintah JL ini.

“Ung Su Ling tidak ada apa-apa untuk menyokong dakwaan beliau bahawa Azlin terlibat dalam urus niaga ini. Saya percaya Ung Su Ling menggunakan nama Azlin sebagai satu cara untuk memecahkan peranan yang dimainkan oleh JL,” kata Najib.


Najib percaya Jho Low ambil langkah untuk halang beliau menghidu penyelewengan dalam akaunnya.

2.40 petang: Najib Razak memberitahu mahkamah mengenai langkah-langkah yang didakwa telah diambil oleh ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, yang dikaitkan dengan 1MDB, untuk memastikan cek yang dikeluarkan oleh Najib tidak ditendang.

Menjawab soalan peguamnya, bekas perdana menteri itu berkata beliau percaya Low mengambil langkah untuk mengaktifkan sumber dan mendepositkan dana ke akaun (Najib) untuk menghalang beliau daripada curiga dan mula bertanya soalan.

Najib mendakwa siasatan akan mendedahkan perkara-perkara lain juga, seperti yang telah ditunjukkan kepadanya sekarang bahawa Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil telah memanipulasi dana SRC dan mereka telah didakwa menipu pengarah SRC yang lain.


2.38 petang: Prosiding disambung semula selepas waktu rehat tengah hari, dengan Najib Razak menyambung keterangannya.


12.55 tengah hari: Perbicaraan berhenti rehat untuk makan tengah hari dan dijangka disambung semula jam 2.30 petang.


Najib jangka tiada lagi derma selepas kematian Raja Abdullah

12.53 tengah hari: Najib Razak memberitahu mahkamah bahawa beliau memutuskan untuk menutup tiga akaun Ambank miliknya pada tahun 2015 kerana menjangka tidak akan sumbangan lagi.

Ditanya oleh peguamnya mengapa dia berfikir begitu, Najib berkata beliau percaya sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi akan berhenti dengan kematian Raja Abdullah pada Januari tahun itu.

Ini kerana menurutnya, sumbangan sebelum itu dibuat sendiri oleh Raja Abdullah.

“Raja Abdullah telah meninggal dunia pada 23.1.2015, dan memandangkan aturan berkenaan dengan derma telah dilakukan secara peribadi di antara Raja Abdullah dan saya, saya kira ia akan menjadi pengakhiran di situ.

“Saya ingat ada menandatangani dokumen yang mana Dato Azlin serahkan kepada saya untuk menutup akaun pada Mac 2015. Akan tetapi, saya tidak dapat ingat sekiranya diberitahu bahawa terdapat lebih RM100,000.00 baki di dalam akaun atau mengarahkan dana ini dikeluarkan melalui Perintah Penunaian (Cashiers Order) kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd,” katanya.


Perbelanjaan politik bukan untuk kepentingan peribadi, kata Najib

12.48 tengah hari: Mahkamah diberitahu oleh bekas perdana menteri Najib Razak bahawa wang yang beliau belanjakan adalah untuk aktiviti politik dan bukan kerana kepentingan peribadi.

Menurut ahli politik berkenaan, agihan dana untuk tujuan politik bukan dibuat untuk membeli sokongan.

Beliau mendakwa penerima juga tidak dipilih berdasarkan asas tersebut.

“Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap presiden Umno dan pengerusi BN untuk menyimpan dana untuk parti. Ini telah dilakukan oleh setiap presiden Umno dan pengerusi BN sebelum saya.

“Secara keseluruhan, bayaran adalah berdasarkan kepada keperluan mereka. Dalam erti kata lain, mereka (penerima) akan datang kepada saya dan beritahu bahawa mereka memerlukan pembiayaan untuk politik atau aktiviti-aktiviti mereka.

“Saya tidak membelanjakan dana untuk mendapatkan sokongan atau membeli undi secara terbuka. Perbelanjaan ini terutamanya kepada kumpulan politik dan aktiviti kebajikan,” katanya.


Najib ulangi kewajaran belanjakan kad kredit di Chanel, bayar hotel Shangri-la di Bangkok.

12.36 tengah hari: Bekas perdana menteri Najib Razak mengulangi kewajarannya menggunakan wang dalam akaun untuk perbelanjaan kad kredit sebanyak AS$130,625 di butik mewah Chanel di Honolulu pada Disember 2014 dan RM127,017.46 untuk penginapan hotel di Shangri-La, Bangkok pada Jan 2015.

Berhubung perbelanjaan di Honolulu, Najib berkata ia adalah hadiah ulang tahun untuk isterinya Rosmah Mansor, dan penginapan hotel di Bangkok adalah untuk pertemuan dengan pemerintah Thailand Prayut Chan-o-Cha bagi membincangkan bagaimana kerajaan Thai dapat membantu Malaysia menangani masalah banjir.

“Pada atau sekitar 24 Disember 2014, saya berada di Honolulu dalam transit ke Kuala Lumpur. Saya berada di Honolulu sebagai sebahagian daripada lawatan peribadi dengan keluarga, di mana pada masa yang sama, sesi bermain golf diatur dengan Presiden (AS) pada masa itu, Barack Obama.

“Pertemuan dan sesi bermain golf dengan presiden itu dilaporkan secara meluas oleh media. Selepas saya dimaklumkan mengenai banjir dahsyat yang melanda Pantai Timur (Malaysia pada masa itu), saya segera membuat perkiraan untuk kembali ke Malaysia.

“Di Kota Baru, saya telah diberi taklimat mengenai usaha untuk menangani banjir dan menghabiskan masa saya di sana. Ini dilaporkan secara meluas oleh media.

“Oleh itu, saya tidak pernah melihat atau menandatangani dokumen P277 yang dikatakan telah dilaksanakan pada 24 Dis 2014,” kata Najib.


Najib dakwa tak pernah arahkan SRC pindahkan wang ke Ihsan Perdana

11.30 pagi: Najib Razak menafikan dirinya mengetahui bahawa dana SRC International dipindahkan ke akaun bank beliau pada tahun 2014.

Bekas perdana menteri itu memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak memberi sebarang arahan dan tidak membenarkan sesiapa sahaja membuat urus niaga tersebut untuk memindahkan wang dari SRC kepada Ihsan Perdana melalui Gandingan Mentari Sdn Bhd.

“Saya tidak mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai pemindahan dana dari SRC kepada IPSB dan kemudian ke akaun saya.

“Saya hanya mengetahui mengenai butiran transaksi sekitar Julai 2015 apabila perkara itu telah disensasikan oleh Sarawak Report.”


11.22 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak menyambung semula keterangannya.


10.53 pagi: Mahkamah berhenti rehat seketika.


‘Tak masuk akal saya rela terima wang dari syarikat milik MKD’

10.45 pagi: Mahkamah diberitahu oleh Najib Razak bahawa beliau tidak mengetahui mengenai RM27 juta yang masuk ke dua akaun bank beliau pada bulan Julai 2014 adalah berasal dari SRC International.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa adalah tidak masuk akal untuknya rela menerima wang yang berasal dari sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

“Tiada seorang pun yang melaporkan hal ini kepada saya. Ianya adalah suatu yang agak jelas bahawa saya tidak dimaklumkan tentang kebenaran di sebalik asal usul dana-dana di dalam akaun-akaun baru tersebut. Sekiranya saya tahu wang ini adalah daripada SRC, saya tidak akan menerimanya.

“Sekali lagi melihat keadaan sekeliling, ianya adalah suatu yang tidak masuk akal dan adalah tidak waras bagi saya untuk bersetuju dengan rela hati menerima wang daripada syarikat yang dimiliki oleh MKD ke dalam akaun peribadi saya.” katanya.


Azlin didakwa beritahu Najib bahawa Raja Abdullah beri derma lagi pada tahun 2014

10.35 pagi: Najib Razak memberi keterangan bahawa ketua setiausaha peribadinya, Azlin Alias pada tahun 2014 memaklumkan kepada beliau mengenai derma lajutan daripada Raja Abdullah.

Menurut bekas perdana menteri itu, beliau turut ditunjukkan surat bertarikh 1 Jun 2014 sebagai bukti sumbangan oleh Raja Saudi.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan peguamnya Rahmat Hazlan berhubung enam transaksi bank pada tahun 2014, di mana kira-kira RM49 juta  dipindahkan dalam enam transaksi kepada akaun Najib dengan nombor terakhir 880, yang dikatakan merupakan arahan Jho Low.

“Tidak secara terperinci. Sebagaimana yang saya sebutkan, saya diberitahu oleh Datuk Azlin pada 2014 bahawa terdapat pemindahan mata wang asing ke dalam akaun yang mana dikatakan sebagai derma lanjutan daripada Raja Abdullah. 

“Saya ditunjukkan satu surat bertarikh 1.6.2014 untuk membuktikannya dan telah dimaklumkan bahawa surat yang sama telah diberikan kepada bank. 

“Saya juga difahamkan bahawa pemindahan wang dilaporkan kepada BNM sebagai derma daripada Raja Abdullah dan surat tersebut juga dibawa kepada perhatian Tan Sri Zeti oleh Ambank.”


Saya tidak sedar akaun bank saya telah dikeluarkan amaran pengubahan wang haram: Najib

10.22 pagi: Bekas Perdana Menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak sedar bahawa AmBank telah mengeluarkan amaran (red flag) wang haram terhadap transaksi dalam akaunnya.

Tertuduh berkata demikian berhubung soalan dalam kenyataan saksi yang disediakan, sama ada beliau sedar bahawa bank itu mengeluarkan amaran di bawah Amla (Akta Pengubahan Wang Haram) terhadap pemindahan RM12 juta secara berperingkat kepada tiga akaunnya yang berakhir dengan nombor 880, 906 dan 898.

Sebelum ini, bekas pengurus hubungan Najib, Joanna Yu memberi keterangan bagi pihak pendakwaan bahawa dalam usaha menyelaraskan tiga akaun, Jho Low telah menyebabkan RM12 juta dipindahkan ke akaun berkenaan.

“Tidak Tidak sama sekali. Saya tidak akan biarkan ini berlaku. Pada masa itu saya adalah perdana menteri dan juga seorang tokoh politik terkenal di negara ini.

“Jika berita mendedahkan bahawa akaun bank yang didaftarkan di bawah nama saya telah diberi amaran oleh BNM (Bank Negara Malaysia) untuk pemindahan RM12 juta, ia akan pasti digunakan oleh pembangkang dalam usaha untuk merosakkan reputasi saya, “kata Najib.


Najib dakwa tidak pernah lihat penyata tiga akaun bank

10.10 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa beliau tidak pernah melihat penyata bank untuk tiga akaun yang dibukanya dengan Ambank pada tahun 2013.

Ahli politik itu ketika memberi keterangan berkata beliau hanya tahu semasa perbicaraan bahawa Jho Low didakwa mengambil langkah-langkah untuk menghalang beliau daripada mendapatkan penyata berkenaan.

Beliau juga menafikan pernah membenarkan mana-mana pemindahan elektronik dana daripada mana-mana akaun berkenaan.


Saya serahkan pengurusan akaun pada Azlin – Najib

10 pagi: Mahkamah diberitahu oleh Najib Abdul Razak bahawa beliau telah memberikan tanggungjawab untuk mengendalikan ketiga-tiga akaun bank yang baru dibuka dengan Ambank pada tahun 2013 kepada Allahyarham Azlin Alias, yang ketika itu merupakan ketua setiausaha peribadinya.

Najib, yang juga bekas perdana menteri berkata demikian ketika memberi keterangan mengenai buku cek yang diterimanya selepas membuka tiga akaun.

Menurut Najib, beliau tidak sedar kemudiannya bahawa 10 buku cek yang beliau terima hanya untuk dua akaun berkenaan.

“Apabila saya diberi buku cek oleh Datuk Azlin beliau memaklumkan kepada saya ini adalah untuk akaun baharu yang telah saya buka. Saya tidak pula pada waktu itu sedar tiada buku cek diberikan untuk satu akaun lagi.

“Sekali lagi saya tekankan bahawa saya telah menyerahkan pengurusan akaun-akaun kepada Datuk Azlin yang saya percayai. Cek tersebut ditunaikan oleh saya setelah Datuk Azlin menasihatkan saya sama ada terdapat dana di dalam akaun saya.

“Saya tidak ingat Datuk Azlin pernah menyebut bahawa tiada buku cek diberikan untuk satu akaun lagi. 


Najib: Saya diberitahu dana dalam akaun baru adalah baki dari akaun sebelumnya

9.58 pagi: Najib Razak memberitahu mahkamah bahawa ketika dimaklumkan mengenai pembukaan akaun bank baru pada tahun 2013, ketua setiausaha peribadinya ketika itu, Azlin Alias telah menyerahkan sejumlah 10 buku cek.

Bekas perdana menteri itu berkata seingatnya, beliau juga diberitahu bahawa dana dalam akaun baru itu datang dari baki satu lagi akaun banknya.


Najib: Saya percaya ada budi bicara mutlak untuk gunakan derma

9.54 pagi: Najib Razak memberi keterangan bahawa beliau percaya mempunyai budi bicara mutlak berurusan wang dalam tiga akaun AmBanknya berikutan surat pengesahan dari Raja Arab Saudi ketika itu iaitu Raja Abdullah dan maklumat mengenai sumbangan itu telah dimaklumkan kepada Bank Negara.

Semasa membaca kenyataan saksinya, bekas perdana menteri itu berkata ini berkaitan penggunaan wang dalam akaun yang berakhir dengan nombor 898, 906 dan 880.

Najib mengatakan sekitar 2014, beliau ditunjukkan surat bertarikh 1 Jun tahun itu, daripada wakil Raja Abdullah seperti tiga surat yang lepas berhubung sumbangan ke akaun beliau.

“Saya difahamkan bahawa kewujudan derma itu dan surat itu telah dilaporkan kepada bank, BNM dan (Gabenor BNM ketika itu) Zeti secara langsung.

“Ini membentuk asas kepercayaan saya bahawa jumlah dalam akaun baru saya adalah dana yang saya boleh gunakan dengan budi bicara mutlak saya,”kata Najib.


Saya tak pernah berhubung dengan Jho Low berkaitan pembukaan tiga akaun bank: Najib

9.35 pagi: Najib Razak dalam keterangannya memberitahu tidak pernah berkomunikasi dengan Jho Low berhubung pembukaan tiga akaun AmBank dengan nombor berakhir 880, 906 dan 898.

Semasa membaca kenyataan saksi, bekas perdana menteri itu berkata beliau terkejut apabila bank berurusan dengan ahli perniagaan berkenaan sedangkan Jho Low tidak pernah diberikan kuasa untuk berurusan dengan tiga akaun berkenaan.

Najib menjawab soalan dalam kenyataan saksinya sama ada beliau ada berkomunikasi dengan Jho Low ketika membuka tiga akaun tersebut.

Ini berkaitan dengan keterangan bekas pengurus hubungan Najib, Joanna Yu bahawa wanita itu memaklumkan Jho Low ketika membuka tiga akaun yang dikaitkan dengan Najib.

“Tak pernah sama sekali. Sekali lagi, saya terkejut mengapa bank berurusan dengan JL (Jho Low) apabila dia tidak pernah diberi kuasa langsung untuk berurusan dengan bank berhubung dengan akaun saya,” kata Najib.

Najib juga menafikan bahawa dia pernah memberi arahan bagi tiga akaun yang dinamakan sebagai berikut: 1MY untuk akaun dengan nombor terakhir 880, MY untuk akaun dengan nombor terakhir 906, dan Y1MY untuk akaun dengan nombor terakhir 898.

Ini berkaitan keterangan Yu bahawa Jho Low mengarahkan wanita itu mendapatkan kelulusan untuk menggunakan tiga akaun yang dinamakan untuk akaun baru yang dikaitkan dengan Najib.

Tiga akaun itu didakwa terbabit dalam pemindahan RM42 juta wang SRC International ke akaun Najib.


Akaun baru dibuka untuk urus derma dengan lebih baik

9.30 pagi: Mahkamah diberitahu oleh bekas perdana menteri Najib Razak bahawa beliau membuka tiga akaun bank yang baru pada tahun 2013 untuk menguruskan derma dengan lebih baik kerana beberapa pihak dijangka menyalurkan sumbangan kepadanya.

Menurut Najib, pihak-pihak itu berminat memberikan sumbangan selepas mereka menyedari tentang sumbangan beliau untuk kebajikan melalui program-program politik, sosial dan CSR sejak 2011 hingga 2013.

Beliau memberi keterangan bahawa akaun lain yang telah dibuka sebelum itu, dengan nombor berakhir 694, telah ditutup kerana mahu memulangkan kembali sejumlah besar sumbangan yang tidak digunakan kepada penderma.


9.24 pagi: Najib Razak memasuki kandang saksi untuk meneruskan pemeriksaan utama apabila prosiding bermula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.


9 pagi: Tertuduh Najib Razak memasuki Mahkamah Tinggi dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam sambil menunggu prosiding bermula.

Beliau dijangka menyambung semula keterangan saksi ketika pemeriksaan utama di peringkat pembelaan berhubung perbicaraan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.


Najib Razak akan memberi keterangan hari ini dalam hal penutupan akaun AmBank dengan nombor terakhir 694 dan pembukaan akaun dengan nombor terakhir 880, 906 dan 898, yang dikaitkan dengan kes SRC International.

Ini adalah antara isu-isu yang bekas Perdana Menteri itu akan ditanya pada hari ke-61 di perbicaraan hari ini atas dakwaan terlibat dalam penyalahgunaan kuasa, pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan RM42 juta dana dari SRC International.

Akaun dengan nombor terakhir 694 adalah salah satu akaun di mana tertuduh mendakwa menerima beratus-ratus juta dolar Amerika Syarikat sebagai derma daripada keluarga diraja Arab Saudi antara tahun 2011 dan 2013. Beliau mendakwa pada 2013 menerima AS$ 680 juta, di mana beliau mendakwa telah memulangkan sebahagian besar dana tersebut.

Akaun dengan nombor terakhir 880, 906 dan 898 pula dikaitkan dengan dakwaan beliau menerima sejumlah RM42 juta dana ke akaun banknya, melalui pelbagai transaksi perbankan, antara tahun 2011 dan awal 2012.

Sumber: Malaysiakini



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Translate »